24-hours Emergency Call : +606 - 315 8930
+606 - 315 8931

Sinar Harian – Kesan Kanser Kolorektal dari Awal

Interview with Dr. Mohd Hanizam, Consultant in Gastroenterology & Internal Medicine

Sinar Harian Dr Hanizam

Tahap kesedaran dalam kalangan umum terhadap penyakit berkenaan masih rendah

Kanser kolorektal merupakan antara penyakit yang dikatakan semakin mencatatkan peningkatan bukan sahaja di negara ini tetapi seluruh dunia. Malah, ia merupakan kanser kedua tertinggi dilaporkan di negara ini. Menurut hasil kajian Pendaftaran Kanser Negara (NCR) 2006, kanser kolorektal merupakan kanser nombor satu dalam kalangan lelaki dan ketiga dalam kalangan wanita selepas kanser payudara dan kanser pangkal rahim. 

Mengikut statistik NCR, sebanyak 12.1 peratus daripada 21,773 pesakit kanser di negara ini adalah mereka yang menghidap kanser kolorektal. Meskipun statistik penyakit ini adalah tinggi, namun tahap kesedaran dalam kalangan umum mengenai keseriusan kanser kolorektal ini masih rendah. Ini mungkin disebabkan simptomnya yang tidak nyata seperti sakit perut, sukar membuang air besar dan najis berdarah sering dianggap sebagai masalah biasa. Sebagai namanya, kanser kolorektal melibatkan kawasan sekitar dubur, rektum sehingga ke usus besar. 

Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi Hospital Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr. Mohd Hanizam Jaafar berkata, simptom kanser kolorektal hanya akan dirasai apabila ia masuk ke tahap kedua dan ke atas, sekali gus menjadikan risikonya semakin meningkat. Selain faktor genetik, katanya, faktor pemakanan serta gaya hidup tidak sihat turut merupakan antara faktor utama mendorong kepada meningkatnya penyakit kanser kolorektal dalam kalangan masyarakat dewasa ini. 

Mereka yang berisiko adalah mereka berusia 50 tahun ke atas, merokok, mengidap penyakit kencing manis serta kolesterol tinggi. Selain itu, pemakanan tidak sihat seperti memakan daging dan makanan yang diproses, serta kurang pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan serat juga boleh meningkatkan risiko kanser kolorektal. 

“Sekiranya seseorang itu berada dalam kumpulan berisiko ini, adalah lebih baik menjalankan pemeriksaan walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom penyakit. Dalam konteks ini, kesedaran mengesan dari awal adalah penting kerana kita pun tahu lagi awal ia dikesan maka lagi mudah untuk dirawati. Malah, kalau ia dapat dikesan dari awal, peratusan untuk diubati adalah agak tinggi iaitu kira-kira 90 peratus,” katanya. 

Pengesanan Awal

Menurut Dr. Mohd Hanizam, kaedah yang lazim digunakan untuk pemeriksaan  kanser kolorektal adalah menerusi kaedah kolonoskopi, di mana sejenis tiub fleksibel yang berkamera dimasukkan menerusi dubur bagi mengesan kehadiran polip atau ketulan kecil pada dinding usus besar. Pesakit akan diberikan ubat tidur semasa prosedur dijalankan dan proses ini hanya mengambil masa antara 15 hingga 30 minit. 

Semasa prosedur kolonoskopi dijalankan, sebarang polip yang ditemui akan dibuang bagi mengurangkan risiko kanser kolorektal. “Walaupun tidak kesemua polip ini akan berubah menjadi kanser, namun adalah penting untuk membuang kesemua polip yang ditemui semasa prosedur kolonoskopi. 

“Polip yang dibuang akan diperiksa oleh pakar patalogi untuk menentukan sama ada ia kanser atau tidak. Sekiranya ya, prosedur ulangan boleh dilakukan dalam masa enam bulan. Bagaimanapun, kalau tiada kanser, ia boleh diulang dalam masa tiga tahun dan kalau selepas itu masih tiada, diulang sekali lagi dalam masa lima tahun, ” katanya.

Menurut Dr. Mohd Hanizam, walaupun kaedah kolonoskopi adalah cara pencegahan terbaik, namun tidak ramai akan bersetuju melakukannya. ” Biasanya hanya dalam 10 ke 30 peratus yang akan bersetuju melakukan prosedur ini kerana mereka takut dan sebagainya. Risikonya tetap ada. Mungkin satu dalam seribu akan mengalami risiko pendarahan serta risiko koyakan semasa menjalankan prosedur,” katanya. 

Selain kolonoskopi, terdapat satu lagi kaedah pengesanan iaitu ujian najis (Fecal occult blood testing (FOBT)) atau M2-PK di mana najis akan diuji bagi mengesan kehadiran sel darah dan sel usus tidak normal, yang merupakan satu tanda kanser kolorektal awal. “Sekiranya ujian ini positif, maka pesakit akan diberi kaunselling supaya mereka menjalani pemeriksaan kolonoskopi,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, prosedur kolonoskopi adalah agak mahal berbanding prosedur pengesanan kanser lain seperti kanser paru-paru, kanser pangkal rahim ataupun kanser payudara. Sehubungan itu, Oriental Melaka Straits Medical Centre kini menawarkan pakej kolonoskopi dan gastroskopi pada harga RM999 sahaja untuk memupuk kaedah pencegahan kolon kanser yang semaking meningkat di Malaysia.

 Sinar Harian, 4th April 2016